About

Sunday 26 August 2012

Blog post test 2


Assalamualaikum... Salam manis buat teman-teman semua. Apa khabar hari ini. semoga dengan hari lebaran yang bakal menjelang beberapa hari saja lagi, diharap semuanya dalam keadaan yang sihat-sihat selalu. Bila cerita bab hari Raya ni, mesti banyak kisah yang tersirat dan tersurat dalam hidup kita yang mengimbau kembali di ingatan, terutama segala kenangan yang memilukan hati. Begitu juga dengan CT, terasa sedih menusuk hati bila terkenang diri yang terpaksa menyambut hari lebaran tanpa kehadiran kedua orang tua. Masuk raya tahun ni, dah hampir 5 tahun CT kehilangan arwah MAK dan dah 3 tahun arwah bapak pergi, tu yang sedih aje rasanya. Doa CT semoga kedua ibubapa CT sentiasa aman disana dan sentiasa dicucuri rahmat olehNYA setiap masa.. Aminnn.


Hari ini, CT kongsikan resepi biskut yang CT namakan Biskut Vanila Rintik Coklat. Sebenarnya resipi asalnya hanya biskut biasa yang plain aje, tak berseri kalau tengok. Biasa lah resepi biskut minah saleh, tak ada deko-deko sangat, memang tak berserilah kalau nak dihidangkan untuk hari raya hehehe. Jadi CT cari idea bagaimana nak serikan dia, apalagi terus selongkar gerobok barang-barang masakan nak cari coklat masakan untuk mendeko biskut ni. Akhirnya terjawablah apa yang nak CT buat pada biskut ni hehehe. Okeylah kan dari biskut ni dok plain tak berbaju, CT serikan dia dengan coklat masakan dan ditabur manik gula diatasnya hehehe.


Resepi ni CT ambil dari blog sorang minah saleh. Harap minah saleh tu halalkan lah ye. Walaupun dia mungkin tak masuk blog CT dan kalau masuk pun mungkin tak paham sepatah haram apa yg CT tulis kat sini, tapi CT dah tinggalkan jejak CT kat kotak komen dia bagitau yang CT copy paste resipi dia. Yang penting kita mesti sentiasa jujur pada diri sendiri bila kita ambil dan cuba sesuatu resepi tu sebab apa yang kita ambil tu, kita nak kongsikan pula kepada orang lain ya tak.


Bercerita bab biskut hari raya ni, zaman CT anak dara dululah kann... memang malas nak menolong buat kuih dan biskut raya. Bila arwah mak dengan kakak mintak CT tolong, pasti CT cari peluang nak elakkan diri hehehe. Alasan yang biasa CT beri adalah nak pergi solat terawih, padahal nak lari dari kena jaga biskut dalam oven hitam yang kena tenggek atas dapur minyak tanah atau gas yang dilapik dengan pasir di bawahnya tu hehehe. Guna oven antik tu, dahlah lambat masak, panas pulak tu kan. Lagi satu, selalu biskut terhangus sebab susah nak kawal api dia. Masih ada lagi tersimpan oven hitam tu di kampung. Nostalgia sungguh oven hitam tu dan sampai sekarang masih tersimpan dengan baik.


Okeylah CT berhenti sampai di sini dulu ye. Maklumlah masih banyak kerja yang perlu diselesaikan tambahan pula CT kena buat kerja-kerja tu sorang-sorang. Anak dara CT, esok baru dia balik bercuti jadi tak bolehlah CT nak tunggu untuk dia menolong. Jadi terpaksalah kerah yang bujang-bujang 3 orang tu untuk menolong CT mengemas mana-mana yang patut dan lain-lainnya. Tahun ni kami beraya sederhana saja, menyambut Syawal dengan seadanya. Alhamdulillah, kelengkapan dan pakaian anak-anak dah disiapkan awal-awal semuanya. Yang penting, kita mesti memberi keutamaan kepada yang perlu dan berbelanja mengikut kemampuan sendiri, betul tak.

Sampai jumpa lagi esok, salam manisss dari CT. Daaa....


Biskut Vanila Rintik Coklat
Resepi olahan Che CT

Bahan-bahan :
180 gm mentega sejuk - didadu
200 gm gula aising
350 gm tepung gandum
1 biji telur gred A
2 sudu teh esen vanila

Hiasan :
100 gm coklat masakan - cairkan cara double boiler
Manik berwarna

Cara-cara :
1. Masukkan semua bahan dalam food prosesser blend sebati atau masukkan dalam mixer dan pukul sebati.
2. Ambil adunan dan uli hingga jadi doh yang lembut dan masukan dalam plastik bersih dan simpan dalam peti sejuk selama 30 minit.
3. Keluarkan doh dan canai serta terap dengan acuan yang digemari. Susun atas dulang yang dilapis 2 keping kertas minyak dan digris sedikit mentega.
4. Bakar pada suhu 180C selama 15 minti hingga perang keemasan. Sejukan atas rak dawai sepenuhnya.
5. Bila dah sejuk paipkan coklat masakan dan taburkan manik berwarna atasnya. Tunggu coklat mengeras baru disimpan dalam bekas kedap udara.


Blog post test 1


Assalamualaikum... Apa khabar semua teman-teman CT, semoga semuanya di dalam keadaan yang sihat, dan ceria selalu hendaknya. Dah banyak ker buat biskut untuk hari lebaran nanti. CT yakin, dah berderet-deret dah balang biskut tersusun didapur tu agaknya hehehe. Bermacam bentuk, warna dan rasa, dan pasti lebih sedap jika ianya buatan sendiri.


Walaupun biskut yang terlonggok di komplek membeli belah atau gerai Ramadhan tu pelbagai aneka dan rupa, tapi kalau kita buat sendiri lebih elok dari pelbagai segi. Disamping lebih menjimatkan, terjamin juga kesegarannya dan tidaklah hapak atau sebagainya. CT bercakap berdasarkan pengalaman sebenar, sebab dah pernah terkena banyak kali sebelum ni. Cantik diluar tapi bila makan rasanya tak sesedap mana. Jadi bila nak dihidangkan untuk tetamu yang datang, rasa tak sampai hati pulak rasanya. Jika terpaksa membeli juga, jalan lebih selamat adalah dengan membeli dari kenalan atau rakan-rakan kita yang pandai membuat biskut untuk jualan.


Hari ini CT kongsikan resepi biskut yang agak berwarna-warni yang CT namakan sebagai Biskut Ceria Pancawarna. Biskut ini adalah salah satu dari biskut raya yang CT buatkan untuk keluarga di kampung sebagai pelengkap meja hari raya di rumah IBU mertua CT nanti. Seperti yang CT dah katakan sebelum ni, tahun ni mak mertua CT dah buat permintaan awal-awal lagi supaya CT dapat buatkan biskut raya lebih sikit tahun ni. Jadi dengan penuh rasa keikhlasan, CT tunaikan permintaan dia dengan membuat sedaya CT biskut-biskut tu lebih sedikit sebagai buah tangan untuk IBU mertua dan keluarga CT di kampung tu.


Masa nak mendeko biskut ni, CT dok memerah idea juga tak tahu nak mendekonya macamana. Bila dah duduk diam-diam tu barulah datang idea nak mendekonya sampailah jadi hasilnya berwarna warni macam ni, sama seperti berwarna warninya hati CT pada waktu ini hehehe. Habis dah idea yang diperah jadi keluarlah idea ni, tapi cute ajer jadinya kan hehehe. Bila dibawa balik kampung nanti pasti ceria muka-muka yang memandangnya hehehe.


Jika tiada aral melintang, Insya'Allah esok CT sekeluarga akan mula bertolak balik ke kampung, meninggalkan kota Kuala Lumpur yang hingar-bingar, dan menikmati pula suasana kampung yang permai. Seakan sudah terngiang-ngiang suasana kemeriahan dan keriuhan suara anak-anak saudara CT dan suara keluarga yang CT rindui. Dan rasa rindu juga untuk menziarahi pusara kedua Ibubapa CT yang telah berpulang ke rahmatullah. Semoga perjalanan kami sekeluarga dilindungi, lancar dan selamat sampai kedistinasi yang dituju InsyaAllah... Aminnn


Biskut Ceria Pancawarna
Resepi Olahan Che CT

Bahan-bahan :
250 gm mentega - suhu bilik
50 gm gula aising
2 biji kuning telur gred B
360 gm tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar susu pekat manis

Bahan Gula Aising :
1 cawan gula aising
1 sudu besar corn syurp
1 sudu teh jus lemon
1 sudu besar susu segar

Pewarna yang digemari

Cara-cara :
1. Pukul mentega dan gula aising hingga kembang dan putih. Masukkan kuning telur satu persatu pukul lagi. Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar.
2. Masukkan tepung gandum bersama tepung jagung yang diayak dan uli pelahan hingga jadi doh yang lembut. Rehatkan adunan 10 minit.
3. Canai doh atas dua lapik plastik setebal 1/4 inci. Terap dengan acuan pilihan.
3. Susun dalam dulang yang dilapaik kertas minyak dan jarakkan adunan. Bakar pada suhu 170C selama 15 minit hingga perang keemasan.
4. Sejukkan atas rak dawai sepenuhnya sebelum dipaipkan gula aising.

Gula Aising:
1. Satukan semua bahan dan kacau rata dan sebati. bahagi kepada 2-3 bahangian dan letak pewarna dan kacau rata.
2. Letak dalam pipping beg dan paipkan atas biskut. Biarkan gula aising mengeras dan simpan dalam bekas kedap udara.